Wednesday, February 23, 2011

Malaysia perlu cari bekalan selesa. TPM yakin Harimau Malaya menang.

MALAYSIA perlu mencatat kemenangan besar ke atas Pakistan pada aksi pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam malam ini sebagai bekalan selesa untuk aksi kedua di Lahore, 9 Mac depan.


 Jurulatih skuad Olimpik kebangsaan, Ong Kim Swee berkata, para pemain sudah bersedia untuk turun dengan aksi terbaik mereka bagi merealisasikan objektif tersebut.

"Sudah tentu kita mahukan kemenangan pada aksi pertama di gelanggang sendiri ini. Tetapi kita mahukan satu kemenangan yang selesa.

"Jadi kita akan cuba sedaya upaya. Jika perlu memasukkan lebih ramai pemain serangan, kita akan lakukannya.

"Saya mahu pemain fokus memikirkan apa yang perlu dilakukan esok (malam ini) berbanding terlalu memikirkan apa yang akan Pakistan lakukan," katanya pada sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya petang semalam.

Menurut Kim Swee, tugas untuk mencari gol pastinya terletak di bahu gandingan penyerang, Ahmad Shakir Md. Ali dan Ahmad Fakri Saarani sambil dibantu pemain-pemain lain.

"Selain Shakir dan Fakri, pemain-pemain seperti Wan Zaharulnizam Wan Zakaria, Wan Zack Haikal Wan Noor, Fandi Othman dan Ferris Danial Mat Nasir juga mampu menjaringkan gol.

"Saya rasa tiada masalah untuk kita menembusi gawang Pakistan kerana para pemain kini sudah bersedia sepenuhnya," jelas pengendali berusia 41 tahun itu.

Skuad Olimpik kebangsaan tampak mantap dengan dibarisi tujuh pemain skuad juara Piala Suzuki AFF 2010 iaitu Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Faizal Muhamad, K. Gurusamy dan Faizal Abu Bakar.

Malaysia malam ini bakal turun dengan memakai jersi utama berwarna kuning hitam manakala Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin pasukan Harimau Malaya mampu berdepan mana-mana pasukan lawan termasuk Pakistan.


Muhyiddin berkata, semangat gigih serta tidak mudah menyerah kalah setiap pemain akan menjadi faktor penentu kepada keputusan pertama pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 menentang Pakistan di Stadium Shah Alam malam ini.

"Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan 'Selamat Berjuang' kepada pasukan bola sepak Harimau Malaya yang akan turun padang menentang Pakistan dalam saingan pertama Kelayakan Olimpik, Rabu ini," katanya semalam.

Beliau berkata, sokongan padu akan terus diberikan kepada pasukan kebangsaan bagi memastikan penyertaan Malaysia pada Sukan Olimpik kelak.

"Yang pasti, saya dan seluruh rakyat Malaysia akan mendoakan kejayaan Harimau Malaya pada perlawanan tersebut serta perlawanan-perlawanan seterusnya," katanya.

Seramai 18 pemain termasuk Khairul Fahmi Che Mat yang dibimbing oleh jurulatih Ong Kim Swee akan membawa cabaran negara dalam perlawanan tersebut.

No comments: